Wednesday, February 4, 2009

Kereta Elektrik

.

KENAIKAN harga minyak yang begitu melampau tahun lepas sebenarnya turut mempunyai rahmat kepada industri automobil dan pengguna kereta di masa depan. Masakan tidak, kenaikan harga minyak mentah setong yang melebihi AS$150 telah menyebabkan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka dalam melahirkan kereta tanpa minyak.

Sememangnya kita mengetahui syarikat-syarikat besar ini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kereta-kereta tanpa menggunakan minyak tetapi R&Dnya diperlahankan kerana membabitkan kos tinggi. Selain itu, teknologi bateri juga tidak banyak berkembang menyebabkan kereta elektrik sukar untuk dikomersialkan dan hanya digunakan untuk kegunaan di padang golf sahaja. Walaupun kini harga minyak telah turun dengan banyaknya
tetapi kereta-kereta masa depan yang tidak bergantung kepada minyak itu semakin hampir untuk dikomersialkan.

Kereta hibrid, kereta hidrogen, kereta solar dan kereta elektrik antara kereta tanpa minyak yang sedang menjalani ujian-ujian akhir di makmal syarikat
pengeluar kenderaan. Pada pameran automobil di Detroit, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, para peminat mula disajikan dengan kereta-kereta sedemikian yang dalam setahun dua ini akan berada di jalan raya.

Roadster sport

TESLA Motors misalnya merupakan syarikat pengeluar kenderaan di Silicon Valley, California yang telah menghasilkan kereta elektrik berbentuk sports.
Kereta Roadster Sport tersebut merupakan kereta yang 100 peratus bergantung kepada tenaga elektrik yang boleh ditempah mulai sekarang dan mula berada menjelang pertengahan tahun ini.
Roadster Sport dikatakan mampu memecut dari 0 hingga 96 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.7 saat dengan hanya menggunakan kuasa elektrik.
Kereta sports elektrik ini akan dipasarkan dengan harga RM460,000 di Amerika Syarikat dan RM531,000 di Eropah.

Bateri kereta ini boleh bertahan untuk perjalanan sehingga 563 kilometer untuk sekali caj.
Tesla Roadster dikatakan mampu mencapai kelajuan sehingga 209 km/j dan baterinya boleh bertahan untuk perjalanan sehingga 393 kilometer untuk sekali caj. “Tetapi apa yang paling membezakannya ialah Tesla Roadster langsung tidak menggunakan setitik minyak,’’ kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Tesla Motors, Elon Musk. Beliau berkata demikian kepada para wartawan pada Pameran Auto Antarbangsa Detroit, Michigan, AS, baru-baru ini.

Fisker Karma
Sebuah lagi kereta sports elektrik yang diperkenalkan di Detroit ialah Fisker Karma yang dijangka dipasarkan tahun depan. Kereta yang menggunakan pek bateri litium-ion itu mampu bertahan untuk perjalanan sehingga 80.6 km untuk setiap kali caj. Kereta yang diperbuat oleh Fisker Automotive akan dipasarkan dengan harga RM307,650 dengan pengeluaran pertama dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Fisker Karma juga merupakan kereta hibrid pertama di dunia yang menggabungkan kombinasi petrol dan elektrik yang dicaj. Kereta hibrid lain dicaj ketika kereta itu bergerak dan tidak boleh dicaj ketika berhenti.
.

No comments:

Post a Comment